Saturday, July 2, 2011

AMALAN UNTUK SELAMAT DUNIA DAN AKHIRAT



Assalamualaikum sahabat-sahabat sekalain, hari ini saya ingin berkongsi satu artikel ( hadis ) yang telah lama saya simpan. Hadis ini sangat bermanfaat untuk kita jadikan amalan dan panduan dalam kehidupan kita untuk selamat di dunia mahupon di akhirat kelak.

Semoga kalian semua dapat menghayati dan seterusnya menjadikan ia sebagai satu amalan dalam kehidupan seharian.


Daripada Saidina Khalid bin Al-Walid RA berkata, “ Telah dating seorang Arab desa kepada Rasulullah SAW dan menyatakan tujuannya: Wahai Rasulullah! Kedatanganku untuk bertanya engkau mengenai apa yang akan menyempurnakan diriku di dunia dan akhirat.”

Rasulullah berkata kepadanya: “Tanyalah apa yang engkau kehendaki.” Arab desa itu berkata: “Aku mahu menjadi orang alim.” Dibalas Rasulullah: “ Takutlah kepada Allah SWT.”

Dia bertanya lagi: “ Aku mahu menjadi orang paling kaya.” Rasulullah menjawab: “Jadilah orang yang yakin pada diri.” 

Bertanya lagi Arab desa itu: “Aku mahu menjadi orang yang adil.” Lalu dijawab Rasulullah: “Kasihanilah manusia lain seperti engkau kasih pada diri.”

Dia bertanya: “Aku mahu menjadi orang paling baik.” Baginda menjawab: “Jadilah orang yang berguna kepada masyarakat.” 

Dia bertanya lagi: “aku mahu menjadi orang istimewa di sisi Allah.” Dan dijawab Rasulullah: “Banyakkan zikrullah.”

Arab desa itu bertanya: “Aku mahu disempurnakan imanku.” Baginda menjawab: “Perelokkan akhlakmu.” 

Dia bertanya lagi: “Aku mahu termasuk dalam golongan orang yang muhsinin ( baik ). “Beribadatlah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya dan jika engkau tidak berasa begitu, sekurang-kurangnya engkau yakin Dia tetap melihat engkau.”

Arab desa itu bertanya lagi: “Aku mahu termasuk dalam golongan yang taat.” Lalu dijawab Baginda: “Tunaikan segala kewajipan yang difardukan.” 

Dia bertanya lagi: “Aku mahu berjumpa Allah dalam keadaan bersih daripada dosa.” Rasulullah menjawab: “Bersihkan dirimu daripada najis dosa.”

Dia terus bertanya: “Aku mahu dihimpun pada hari kiamat di bawah cahaya.” Baginda menjawab: “Jangan menzalimi seseorang.” 

Dia bertanya lagi: “Aku mahu dikasihi oleh Allah pada hari kiamat.” Baginda berkata: “Kasihanilah dirimu dan kasihanilah orang lain.”

Dia bertanya: “Aku mahu dihapuskan segala dosaku.” Baginda menjawab: “Banyakkan beristighfar.” 

Dia berkata: Bagaimana pula aku mahu menjadi semulia-mulia manusia.” Lalu baginda menjawab: “Jangan mengesyaki sesuatu perkara pada orang lain.”

Dia bertanya Rasulullah: “Aku mahu menjadi segagah-gagah manusia.” Baginda menjawab: “Sentiasa menyerah diri ( tawakal ) kepada Allah.” 

Dia bertanya lagi: “Aku mahu dimurahkan rezeki oleh Allah.” Baginda menjawab: “Sentiasa berada dalam keadaan bersih ( daripada hadas ).”

Dia bertanya: “Aku mahu termasuk dalam golongan yang dikasihi Allah dan Rasul-Nya.” Baginda menjawab: “Cintailah segala yang disukai Allah dan rasul-Nya.” 

Dia bertanya: “Aku mahu diselamatkan daripada kemurkaan Allah pada hari kiamat.” Baginda menjawab: “Jangan marah kepada orang lain.”

Dia bertanya lagi kepada Rasulullah: “Aku mahu diterima segala permohonanku.” Baginda menjawab: “Jauhilah makanan haram.” 

Dia bertanya: “Aku mahu Allah menutup segala keaibanku pada hari kiamat.” Baginda pun menjawab: “Tutuplah keburukan orang lain.”

Dia bertanya: “Siapa yang terselamat daripada dosa?” Rasulullah menjawab: “Orang yang sentiasa mengalir air mata penyesalan, mereka yang tunduk pada kehendak-Nya dan mereka yang ditimpa kesakitan.”

Dia terus bertanya: “Apakah sebesar-besar kebaikan di sisi Allah?” Baginda menjawab: “Elok budi pekerti, rendah diri dan sabar dengan ujian ( bala ).” 

Dia bertanya lagi: “Apakah sebesar-besar kejahatan di sisi Allah?” Baginda menjawab: “Buruk akhlak dan sedikit ketaatan.”

Dia bertanya: “Apakah yang meredakan kemurkaan Allah di dunia dan akhirat?” Baginda menjawab: “Sedekah dalam keadaan sembunyi ( tidak diketahui ) dan menghubungkan kasih saying.”

Dia bertanya lagi: “Apa yang akan memadamkan api neraka pada hari kiamat?” Baginda menjawab: “Sabar di dunia dengan bala dan musibah.”

Telah berkata Imam Mustaghfirin: “Aku tidak pernah menemui hadis yang besar dan merangkumi kesempurnaan agama dan bermanafaat selain hadis ini.”


AstagfirllahHalazim... Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa hambamu yang lemah ini dan berikan kekuatan untuk kami harungi dugaan dan godaan syaitan laknatullah.... Semoga kita semua mendapat perlindungan dariNya. AMIIN.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Blogger Templates